bank soalan n latihan pendidikan islam

Wednesday 11 May 2011

Arak di akhir zaman

Dari Abu Malik Al-Asy’ari r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya ada sebahagian dari umat ku yang akan meminum khamar dan mereka menamakannya dengan nama lain (Tiger, Anchor dan sebagainya).

(Mereka meminum) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah subhana wa ta’ala akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi dan Allah subhana wa ta’ala akan merubah mereka menjadi kera dan babi.” (Riwayat Ibnu Majah)

Penjelasan dan Pengajaran :
a. Para penyedia atau pengeluar khamar ini merekacipta nama lain bagi khamar dan kononnya mempunyai khasiat, seperti untuk kesihatan dan kesegaran badan.

b. Sudah begitu banyak kelab malam, disko dan seumpamanya yang menghidangkan arak dan diikuti pula dengan nyanyian tidak kira lelaki atau wanita.

c. Penukaran rupa mereka ke dalam bentuk kera atau babi belum lagi terjadi, namun sifat, sikap dan cara hidup mereka sudah menyerupai kera dan babi. Wallahu ‘alam. Manakala kejadian yang menenggelamkan mereka ke dalam bumi sudah banyak terjadi seperti gempa bumi dan lain-lain.

Monday 9 May 2011

hadis ttg akhir zaman

Peristiwa Akhir Zaman

001. Dari Irbadh bin Sariyah r.a, katanya : Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw akan satu nasihat yang menggentarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, ‘Ya Rasulullah, seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali, maka berilah pesanan kepada kami.

Lalu Baginda saw bersabda, “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba.

Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan Sunnah ku dan sunnah para Khulafa Ar-Rasyidin Al-Mahdiyin (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu sesat.” (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Penjelasan dan Pengajaran :
[a]. Sentiasa bertakwa kepada Allah yang Maha Agung iaitu, beriman dan beramal soleh. Mengerjakan segala yang diperintah dan menjauhi segala larangan-Nya.

[b]. Mentaati pemerintah walaupun ia dari keturunan hamba.

[c]. Perselisihan yang banyak akan terjadi selepas kewafatan Nabi saw dan hendaklah kita tetap berpegang pada sunnah Nabi saw dan para sahabatnya walaupun bersendirian.

[d]. Menjauhi perkara-perkara ibadah yang direka-reka kerana ia membawa kepada kesesatan. Maksudnya; mengandaikan penyampaian Nabi saw tidak sempurna lalu dibuat ibadah yang tiada sumbernya dari Rasulullah saw.


002. Dari Zainab binti Jahsy r.a (isteri Rasulullah saw), katanya : Rasulullah saw masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan cemas sambil bersabda, “La ilaa ha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (bencana) yang sudah hampir menimpa mereka.

Pada hari ini telah terbuka dinding Ya’juj dan Ma’juj,” dan Baginda saw menemukan ujung ibu jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan.

Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya, ‘Ya Rasulullah, apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang soleh?’ Lalu Nabi saw bersabda, “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Penjelasan dan Pengajaran :
a. Rasulullah saw berasa cemas akan malapetaka akibat keluarnya Ya’juj dan Ma’juj. Perlu diingat, perkara yang membuatkan Rasulullah saw sendiri cemas, maka apalagi kita. Bersamalah kita berdoa agar terselamat dari huru-hara itu.

b. Walaupun disebutkan bangsa Arab secara khusus namun lafaznya adalah umum kepada umat manusia.

c. Kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku hendaklah segera dibasmikan kerana bencana yang berlaku pada sesuatu kaum yang jahat, turut menimpa penduduk yang berada di sekitar mereka.


003. Dari Tsauban r.a : Rasulullah saw bersabda, “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengemuruni kamu (umat Islam) bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.”

Maka salah seorang sahabat bertanya, ‘Apakah dari kerana (bilangan) kami sedikit pada hari itu?’ Nabi saw menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak (ramai) sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu; dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’.”

Seorang sahabat bertanya, ‘Apakah wahan itu hai Rasulullah?’ Nabi saw menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati.” [Riwayat Abu Daud]

Penjelasan dan Pengajaran :
a. Sepertimana kita lihat umat Islam pada ketika ini berjumlah lebih kurang 1.6 billion seluruh dunia tetapi kita dijadikan seperti ‘lauk di dalam talam’ oleh orang kafir. Maha Benar Allah dan Rasul-Nya.

b. Hadis ini merupakan motivasi kepada seluruh umat Islam agar bangkit dan kembali dengan sebenar-benar kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan bukannya hanya menyerah dan lembik kepada orang kafir.

c. Allah yang Maha Agung akan mencabut kemuliaan orang Islam apabila umat Islam cenderung kepada cinta dunia (tamak, rakus dan cinta pada harta umumnya) dan takut mati (leka dan lupa pada hari pembalasan dan takut berjihad di jalan Allah yang Maha Tinggi).


004.Dari Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a : Rasulullah saw bersabda, “Bahawasanya Allah Subhana wa Ta’ala (SWT) tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama.

Maka apabila sudah tiada alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” [Riwayat Muslim]

Penjelasan dan Pengajaran :
Pelbagai usaha perlu dilakukan agar mengembalikan semula atau mengganti semula para alim ulama yang sudah tiada. Ketiadaan para alim ulama akan menyebabkan manusia berada dalam kebingungan hingga tidak mengenal yang mana benar dan yang mana bathil.


005. Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a : Rasulullah saw bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.”

Sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?’ Nabi saw menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka.” [Riwayat Muslim]

Penjelasan dan Pengajaran :
a. Umat Islam akan mengikut cara hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani dalam pelbagai keadaan, baik dari segi pemerintahan mahupun yang lebih parah lagi; dari segi pemikiran dan kerohanian.

b. Umat Islam perlu kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dari semua aspek kehidupan, iaitu menghidupkan kerohanian keIslaman (rasa cinta pada Islam atas dasar tauhid), pemerintahan Islam, pendidikan Islam, perundangan Islam, ekonomi Islam dan sistem kemasyarakatan berasaskan Islam.

Sunday 8 May 2011

Hadis sahih bukhari

Pendahuluan Sahih Bukhari

Dari Umar bin Khathab r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya.

Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya, untuk apa dia hijrah.” [0001]

Wahyu

1. Dari ‘Aisyah r.ha : Harits bin Hisyam r.a pernah bertanya kepada Rasulullah saw, “Bagaimanakah caranya wahyu turun kepada anda (Rasulullah saw)? Jawab Rasulullah saw, “Kadang-kadang wahyu itu datang kepadaku (kedengaran) seperti bunyi loceng. Itulah yang sangat berat bagiku. Setelah bunyi tu berhenti, lantas aku mengerti apa yang dikatakannya.

Kadang-kadang malaikat menjelma seperti seorang laki-laki datang kepadaku. Dia berbicara kepadaku dan aku mengerti apa yang dikatakannya.

Kata ‘Aisyah r.ha, “Aku pernah melihat Nabi saw, ketika wahyu turun kepada beliau pada suatu hari yang amat dingin. Setelah wahyu itu berhenti turun, kelihatan dahi Nabi saw bersimbah peluh.” (Hadis 0002)

2. Dari ‘Aisyah r.ha : Wahyu yang mula-mula turun kepada Rasulullah saw ialah berupa mimpi-mimpi baik waktu beliau tidur. Biasanya mimpi itu terlihat jelas oleh beliau, seperti jelasnya cuaca pagi. Semenjak itu hati beliau tertarik hendak mengasingkan diri ke Gua Hira

sejarah munculnya mazhab aqidah


Dalam sejarah Islam, berlaku peristiwa menyayat hati umat Islam iaitu pembunuhan Uthman bin Affan. Beliau adalah ketua negara Islam ketiga, menantu Nabi Muhammad dan menurut beberapa laporan, beliau adalah orang yang disegani oleh malaikat. Beliau dibunuh semasa membaca al-Quran. Tragedi ini menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam sehingga tercetusnya Perang Siffin antara Ali bin Abu Talib dengan Muawiyah bin Abu Sufian dan Perang Jamal yang melibatkan Aisyah binti Abu Bakar, Thalhah dan Zubair menentang Ali bin Abu Talib. Peperangan itu bukan sahaja mengorbankan nyawa para sahabat Nabi Muhammad tetapi menimbulkan salah faham dalam bidang politik sehingga melibatkan isu akidah.
Lanjutan daripada peristiwa itu, timbul golongan yang fanatik kepada Ali bin Abu Talib yang dikenali sebagai Syiah dan mereka vang menyokong Muawiyah bin Abu Sufian. Antara dua pertembungan itu, muncul pula golongan yang keluar daripada kumpulan kerana tidak berpuas hati dengan urusan Tahkim yang dikenali sebagai Khawarij. Tahkim adalah peristiwa perlantikan ketua negara Islam antara Ali bin Abu Talib dengan Muawiyah bin Abu Sufian. Semasa peristiwa ini, Ali digugurkan daripada jawatan ketua kerana helah yang dimainkan oleh penyokong Muawiyah. Pada peringkat awal, semua golongan tidak memasukkan hujah akidah dalam pertelingkahan mereka. Situasi masih terkawal kerana ada para sahabat Nabi Muhammad yang masih hidup dan mampu mengawal keadaan walaupun ada anasir-anasir bukan Islam yang cuba mengambil kesempatan.
Namun, selepas beberapa peringkat, anasir bukan Islam mula meresap dari dalam umat Islam. Muncul golongan Syiah yang berfahaman sederhana seperti golongan Imamiah dan Zaidiah serta golongan Syiah yang radikal. Golongan ini dianggap radikal kerana fahaman mereka terkeluar daripada akidah yang utama, bukannya masalah cabang akidah seperti isu pemerintahan.
Antara mereka adalah Ismailiah, Bayaniah dan lain-lain. Golongan ini lebih radikal apabila mereka mendakwa para sahabat Nabi Muhammad terkeluar daripada Islam dan mengangkat Ali bin Abu Talib sebagai Utusan Tuhan. Mereka mendakwa Tuhan dapat menjelma ke dalam diri Ali dan berbagai-bagai lagi.
Di kalangan Khawarij, ada golongan yang berfahaman sederhana seperti golongan Ibadhiah dan yang radikal sehingga meminda dan membatalkan hukum syariat dan mendakwa para sahabat Nabi Muhammad bukan Islam. Antaranya seperti Azraqiah, Ajaridah dan lain-lain.

Semasa kelahiran falsafah dan terjemahan pada zaman Abbasiah, muncul golongan Muktazilah, Jabariah dan Ahli Sunnah walJamaah. Di kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah muncul dua aliran iaitu Salaf dan Khalaf. Di kalangan Khalaf, lahir pula fahaman Asya’irah dan Maturidiah. Perkembangan ini juga mempengaruhi golongan Khawarij dan Syiah.
Melalui perbincangan ini, pembaca dapat mengenali golongan-golongan yang lahir kerana perselisihan politik. Bermula daripada golongan yang berfahaman sederhana yang tidak merosakkan akidah hingga golongan yang terkeluar daripada masyarakat Islam. Caranya adalah dengan mendedahkan fahaman salah mereka walaupun mereka mendakwa masih beragama Islam
As-Syahratani menyebut dalam bukunya, al-Milal wal Nihal bahawa perkara yang berlaku pada zaman dahulu akan berlaku pada akhir zaman. Puncanya adalah sama iaitu golongan yang berpura-pura menganut Islam sentiasa menjadi ‘gunting dalam lipatan’ umat Islam. Mereka selalu mengintai ruang dan peluang bagi memesongkan fahaman orang Islam daripada ajaran sebenar. Gangguan ini mampu mencetuskan pertarungan hebat antara golongan yang menyeleweng dan golongan yang tetap berpegang pada ajaran Islam sebenar.
Walaupun para sahabat berselisih pendapat mengenai isu yang besar, mereka semua akhirnya patuh pada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad. Mereka tetap taat melaksanakannya sebagaimana kenyataan Allah dalam surah al-Nisak ayat 59,
“Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
Allah menyebut lagi dalam surah al-Hujuraat ayat 9-10,
“Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
Pada zaman Nabi Muhammad dan para sahabat, umat Islam berpegang kuat pada agama dan mengeratkan hubungan persaudaraan Islam. Mereka berpegang kuat sehingga sebarang pertelingkahan tidak membawa sikap pandang ringan pada agama dan membolehkan golongan yang berpura-pura Islam (munafik) mencuri peluang. Walaupun golongan munafik berusaha merosakkan fahaman umat Islam dari dalam, mereka masih gagal sehingga mereka sendiri yang berpecah kerana salah faham mengenai akidah.
Pada zaman awal pemerintahan al-Rasyidin, pegangan mereka pada al-Quran dan sunnah tetap teguh. Mereka tidak menyanggah atau berfalsafah. Mereka melihat dan yakin al-Quran itu memenuhi semua keperluan manusia bagi kepentingan agama dan dunia. Mereka juga percaya sunnah adalah huraian yang tetap dan benar. Namun, percampuran umat Islam dengan saudara-saudara baru yang masih berpegang pada ajaran lama mewujudkan perubahan sikap dan fahaman. Contohnya, di Iraq, ada orang-orang Nasrani, Yahudi, Zaradasht dan Manu. Di Yaman dan Syria pula ada penganut-penganut agama Nasrani dan Yahudi. Percampuran ini menyebabkan timbulnya perpecahan antara orang yang menganut Islam dengan orang yang belum menganut Islam. Campur tangan pemerintah dalam kerajaan Islam juga mempengaruhi perkembangan umat Islam. Puncanya kerana ada golongan yang berbahas menggunakan ayat al-Quran bagi menguatkan hujah puaknya. Antara mereka ada yang berhujah secara jujur, khianat ataupun secara jujur tetapi jahil

Sejarah Kemunculan Mazhab Akidah IV

Antara aliran dan fahaman yang pelbagai itu, ada yang tidak membatalkan iman. Orang yang berpegang dengan fahaman itu masih dianggap sebagai penganut Islam. Namun, ada golongan yang dihukum keluar daripada Islam kerana fahaman mereka membatalkan akidah. Antara perkara yang membatalkan akidah adalah seperti berikut:
·  Menolak salah satu daripada rukun iman atau menyeleweng daripadanya.
·  Menolak hukum agama atau menundanya seperti menghalalkan perkara yang haram atau mengharamkan perkara yang halal.
·  Beriman pada sebahagian iman dan menolak sebahagian iman yang lain secara ingkar. Ingkar itu bermaksud jelas kerana tidak percaya. Sebahagian lagi ingkar kerana menjadi alat musuh Islam secara terang-terangan. Ingkar juga dianggap apabila memberi kesetiaan kepada golongan bukan Islam ketika menghadapi orang-orang beriman. Ia menunjukkan individu itu tidak lagi setia pada Islam. Pada waktu yang sama, mereka tetap mengaku sebagai orang Islam dan beramal dengan sebahagian daripada ajarannya.
Para sarjana sejarah Islam merekodkan, pada kurun pertama dalam kalendar Hijrah, ada dua orang yang menjadi punca kemunculan ideologi akidah yang tidak berdasarkan al-Quran dan sunnah. Mereka berpura-pura memeluk Islam bagi merosakkan penganutnya dari dalam.
·  Seorang penganut agama Kristian bernama Susan memperalatkan individu bernama Ma’bad bin
Ubaidillah al-Juhani. Dia menyebarkan ajaran yang dinamakan Qadariah. Ajaran ini membataskan kuasa dan kehendak Allah serta menyatakan, manusia mempunyai kuasa dan kehendaknya sendiri. Dia berjaya memasuki bandar suci Madinah dan berjaya mempengaruhi beberapa penduduknya. Abdullah bin Umar mengisytiharkan, beliau menolak sekeras-kerasnya ajaran yang dibawa oleh Ma’bad. Hasan al-Basri berkata, “Jauhkan diri daripada Ma’bad kerana dia sesat dan menyesatkan.” Muslim bin Yasar mengisytiharkan di tempat beliau mengajar di masjid, “Ma’bad berucap dengan ucapan orang-orang Nasrani.” Akhirnya, khalifah Abdul Malik bin Marwan memerintahkan supaya Ma’bad dihukum bunuh. Walaupun Makbat dibunuh, ajarannya diteruskan oleh bin Marwan atau Ibnu Muslim. Dengan beraninya dia berkata, “Qadar baik dan jahat itu daripada hamba, bukannya daripada Tuhan.” Akhirnya dia dikenakan tindakan keras oleh khalifah Hisham bin Abdul Malik.
·  Bekas penganut Yahudi bernama Abdullah bin Saba’ berpura-pura memeluk Islam. Dia juga berpura-pura menyokong Ali bin Abu Talib hingga menganggap Ali sebagai seorang nabi. Dia menganggap Ali mampu hidup semula di dunia selepas mati. Namun, pada masa yang lain, Ali dikatakan tidak mati. Alasannya, sebahagian daripada zat ketuhanan menjelma dalam diri Ali. Selain itu, berbagai-bagai lagi fahaman yang lain ditimbulkan mengenai Ali.
·  Pada akhir kurun pertama atau kedua Hijrah, muncul pula Jaham bin Safuan di Tirmiz. Dia menyebarkan fahaman yang dinamakan Jabariah. Dia berjaya menarik beberapa pengikut dan akhirnya mengisytiharkan kenyataannya. Kenyataannya, kuasa dan ilmu Allah itu ada kesudahannya. Syurga, neraka dan penduduknya akan binasa. Hanya Allah yang tinggal seperti keadaan awal yang tiada sesuatu pun. Dia juga menyatakan, iman itu pada makrifat (pengetahuan mengenai Allah) sahaja dan kufur itu kerana tidak tahu Allah. Tiada perbuatan langsung bagi makhluk selain daripada Allah sahaja. Akhirnya, Allah menyelamatkan umat Islam dengan pembunuhan Jaham bin Safuan.
Pada zaman fikiran umat Islam menjadi kalut, Allah melahirkan para sarjana yang melakukan pembaharuan (tajdid). Mereka mempertahankan Islam dengan hujah-hujah al-Quran, sunnah dan logik akal yang tidak bercanggah dengan kedua-duanya. Antara mereka adalah Hasan al-Basri. Beliau menolak dengan tegas teori Wasil bin Ata’ mengenai fahaman Muktazilah. Kes ini berlaku pada awal abad kedua Hijrah.
Pada akhir kurun ketiga Hijrah, muncul pula Abu Mansur al-Maturidi yang berusaha menolak hujah-hujah golongan batil. Beliau berjaya mengumpulkan pengikut-pengikutnya bagi mempertahankan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang dikenali dengan aliran Maturidiah.
Kemunculan Abu Hassan al-Asy’ ari memberi kekuatan besar kepada Ahli Sunnah wal Jamaah apabila beliau keluar daripada ajaran Muktazilah. Beliau berjaya berdebat dengan pemimpin Muktazilah yang bernama aljubbai yang juga adalah bapa tirinya. Beliau berjaya menubuhkan kumpulan yang disertai oleh sarjana-sarjana terbilang pada zamannya. Kumpulan itu dikenali sebagai Asya’ irah.
Iraq menjadi medan pergolakan hebat terutamanya di Basrah yang menjadi tumpuan pengikut pelbagai fahaman itu. Kadang-kadang, pemerintah cenderung kepada golongan-golongan berfahaman sesat lalu menyebabkan para sarjana Islam menjadi mangsa. Ada di antara mereka dipenjara dan dibunuh. Walau bagaimanapun, Allah memberi jaminan bagi memelihara agama ini sehingga hari kiamat. Kenyataan ini adalah tetap dan terbukti.
Segala dugaan dan cabaran terjadi kepada semua umat bagi para nabi. Ini dibuktikan daripada Ibnu Mas’ud yang melaporkan, Nabi Muhammad berkata,
“Tidak ada nabi yang dibangkitkan Allah sebelum aku melainkan di kalangan umat mereka ada yang menjadi pengikut setia dan sahabat yang mengambil ajarannya dan mengikut perintahnya. Selepas masa berlalu, ada di kalangan mereka (umat ini) melakukan perkara-perkara yang jahat. Mereka bercakap mengenai perkara yang mereka tidak melakukannya dan mereka membuat perkara yang tidak disuruh. Sesiapa yang bersungguh-sungguh menentang dengan tangannya, dia beriman. Sesiapa yang bersungguh-sungguh menentang dengan lidahnya, dia beriman. Sesiapa yang bersungguh-sungguh menentang dengan hatinya, dia beriman. Tidak ada iman lagi selepas itu walaupun sebesar biji yang halus.”
Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, para sahabat berselisih pendapat mengenai perlantikan khalifah atau ketua negara Islam. Para sahabat mempunyai tiga pendapat iaitu:
Pendapat pertama
Mereka berpendapat khalifah itu dipilih dan dipersetujui oleh rakyat tanpa mengira sama ada kabilah itu berpengaruh ataupun tidak. Pendapat ini dikemukakan oleh majoriti kaum Ansar. Mereka mencadangkan pemimpin kaum Khazraj, Saad bin Ubadah dilantik sebagai pemimpin umat Islam. Mereka berhujah dengan kelebihan Ansar sebagai pengikut, sahabat dan pembantu setia Nabi Muhammad. Terdapat beberapa hadis Nabi yang menyanjung mereka. Dengan hadis-hadis itu mereka berhujah,

“Dengar dan taatlah, walaupun yang menjadi ketua kamu itu seorang hamba Habsyi.”
Pendapat kedua
Mereka yang berpendapat pemimpin itu dipilih daripda keluarga Nabi Muhammad. Pendapat ini dikemukakan oleh beberapa orang di kalangan masyarakat keturunan Bani Hasyim, keluarga Nabi Muhammad dan masyarakat yang sependapat dengan mereka. Mereka berhujah kedudukan keluarga Nabi yang lebih dekat dengan beliau. Mereka mencadangkan Ali bin Abu Talib sebagai pemimpin. Hujah mereka berdasarkan hadis Nabi Muhammad yang berkata kepada Ali,

“Adakah kamu tidak redha dengan kedudukan kamu di sisiku sama seperti kedudukan Harun dan Musa hanya kerana tidak ada nabi lagi selepasku.”
Pendapat ketiga
Mereka yang berpendapat khalifah itu dipilih oleh umat Islam dan mesti daripada kalangan kaum Quraisy. Mereka menganggap Quraisy adalah kabilah yang paling berpengaruh. Mereka berhujah hadis Nabi Muhammad,

“Imam-imam (pemimpin-pemimpi) itu mestilah daripada kalangan Quraisy.”
Akhirnya pendapat ketiga disokong oleh majoriti umat Islam. Semua umat Islam termasuk penyokong Ansar, ahli keluarga Nabi Muhammad melantik Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah. Abu Bakar tidak meminta jawatan yang besar ini. Oleh kerana beliau paling layak dan menepati kriteria yang ditetapkan, rakyat memilih beliau bagi menerima tanggungjawab ini. Para sahabat juga tidak dipaksa bagi melantik Abu Bakar. Mereka menyedari amanah pemimpin adalah besar. Berdasarkan hujah yang dikemukakan oleh golongan Muhajirin, mereka melantik Abu Bakar.
Namun, perselisihan pendapat serta hujah-hujahnya dicemari oleh anasir kotor pada zaman selepasnya. Kemunculan Khawarij berhujah supaya memilih ketua secara bebas tanpa mengira pengaruh kabilah yang kuat. Aliran Syiah menetapkan Ali bin Abu Talib dan keturunannya sahaja yang layaknya menjadi khalifah. Golongan Murji’ah sebulat suara berpendapat, kononnya menyerahkan urusan kepada Allah. Akhirnya pertelingkahan dalam politik melarat sehingga melibatkan perkara-perkara akidah kerana ingin meraih kemenangan. Keghairahan ini membuka ruang kepada anasir-anasir luar bagi merosakkan Islam

Sejarah Kemunculan Mazhab Akidah I

Bagi pengkaji ilmu akidah, pengajian mereka dianggap sempurna apabila mengenali pecahan-pecahan ideologi yang lahir dalam masyarakat Islam. Dalamnya berlaku perbincangan-perbincangan hangat dan menyentuh perkara yang berkaitan dengan akidah. Faktor ini disebabkan gangguan dari dalam dan luar yang menggugat iman yang sebenar. Gangguan yang lahir ini disebut dalam hadis Nabi Muhammad.
Daripada Auf bin Malik melaporkan, Nabi Muhammad berkata,
“Orang-orang Yahudi berpecah kepada 71 kumpulan. Satu kumpulan masuk syurga dan 70 kumpulan ke neraka. Orang Nasrani berpecah kepada 72 kumpulan. 71 kumpulan ke neraka, satu kumpulan ke syurga. Sesungguhnya umatku berpecah kepada 73 kumpulan. Satu puak ke syurga dan 72 kumpulan ke neraka.” Lalu ditanya, “Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu?” Nabi Muhammad berkata, “Mereka adalah yang berada dalam jemaah.”
(Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah)

Daripada Abdullah bin Mas’ud melaporkan,
Nabi Muhammad menggariskan satu garisan dengan kayu yang dipegangnya. Kemudian beliau berkata, “Inilah jalan Allah dan jalan yang betul. Beliau membuat garisan lagi di sebelah kanan dan kirinya. Kemudian beliau berkata, “Jalan-jalan ini tidak ada satu pun daripadanya melainkan ada syaitan yang mengajak ke arahnya.” Kemudian Nabi Muhammad membaca ayat Allah yang bermaksud, “Sesungguhnya inilah jalanku, jalan yang betul maka ikutlah ia. Jangan kamu ikut jalan-jalan yang lain, nanti kamu bercerai berai dari jalannya.”
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal)

Kini, amaran Nabi Muhammad itu benar-benar berlaku. Apabila umat Islam memandang ringan pada ajaran Islam, mereka tidak bersungguh-sungguh berpegang dan menyelesaikan masalah melalui cara Islam. Akhirnya, mereka mudah terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang direka kerana kejahilan dari dalam. Begitu juga gangguan daripada niat-niat jahat musuh yang berpura-pura mengaku Islam. Mereka juga mencampurkan ajaran Islam dengan ajaran-ajaran yang diambil dari luar. Semua fahaman ini mempunyai pengikut. Mereka sanggup mempertahankan pegangan mereka dengan bersungguh-sungguh malah sanggup mengorbankan apa sahaja.

Sejarah Mazhab Al-Maaturidiyyah & Salafi Wahabbi

Al-Maaturidiyyah
Di sebelah timur negara Islam iaitu di daerah Maturid, wilayah Samarkand, lahir sarjana Islam yang bernama Muhammad bin Muhammad bin Mahmud Abu Mansur Maturidi. Beliau lahir pada tahun 332 Hijrah. Beliau membawa aliran ideologi akidah dalam fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah bagi menghadapi beberapa penyelewengan pada zamannya. Beliau adalah sarjana Islam dalam mazhab Hanafi.
Beliau muncul di Asia Tengah pada waktu masyarakat Islam dilanda aliran ideologi yang menyeleweng daripada akidah yang sebenar. Antaranya mazhab Muktazilah, Mujasimah, Muhammad bin Karam Sajassatani iaitu pemimpin fahaman Karamiah, Qaramitah yang dipimpin oleh Hamdan As’ ad, Jaham bin Safuan iaitu pemimpin fahaman Jahamiah, dan ahli tasauf Husin bin Mansur al-Halaj. Imam Abu Mansur Maturidi membawa peranan yang besar bagi menghadapi penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh mereka.
Walaupun beliau hidup sezaman dengan mazhab Imam Abu Hasan al-Asy’ ari, namun beliau mempunyai teknik berhujah dan huraian yang berbeza. Para sarjana Islam menyatakan, Imam Abu Mansur Maturidi lebih cenderung kepada pendapat Imam Abu Hanifah dalam perkara akidah. Ini kerana beliau merujuk risalah-risalah dan buku-buku yang ditulis oleh Imam Abu Hanifah seperti Fikh Akbar, Fikh Absat, Kitab Ilm dan sebagainya.
Terdapat beberapa perselisihan antara Abu Mansur Maturidi dengan Abu Hassan al-Asy’ ari. Antaranya dalam isu Makrifatullah (mengenal Allah), Abu Hassan menyatakan wajib mengetahuinya menurut sumber agama tetapi Abu Mansur berkata wajib juga dengan berpandu dengan akal. Dalam isu sifat-sifat Allah, Abu Mansur menambah dengan sifat-sifat maknawiyah iaitu sifat yang menjadi penguat kepada sifat Ma’ani beserta sifat-sifat Madani. Fahaman Maturidiah mewajibkan hukum akal beserta syarak sehingga beliau berselisih dengan sebahagian sarjana Fikah dan Hadis. Terdapat lagi huraian-huraiannya berhubung Qadak dan Qadar dan lain-lain yang berbeza dengan huraian fahaman Asya’irah.
Abu Mansur Maturidi meninggalkan pusaka ilmu yang banyak selain membela fahaman Ahli Sunnah bagi menghadapi pelbagai fahaman yang menyeleweng. Pusaka ilmunya adalah murid-murid yang ramai dan pengikut-pengikut yang meneruskan ajarannya. Antara murid-muridnya adalah Abu Ahmad Iyad, Abu Qasim Hakim Samarkandi, Abu Hussin Wastaqfani, Abdul Karim bin Musa Inbazadari, Abu Asyimah Abi Lais Bakhari dan lain-lain. Antara pengikut-pengikut yang meneruskan alirannya adalah Sadar Islam Abu Yasir Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karim Bazadui, Maimun bin Muhammad Nasfi yang dianggap tokoh sarjana terbesar dalam fahaman ini selepas Abu Mansur. Adakala sebahagian menganggap mereka adalah kumpulan kecil seperti Syaharsatani dalam fahaman Asya’irah, Najmuddin Abu Hafiz Samarqandi Nasqi, Nuruddin Ahmad bin Muhammad Syobuni, Bukamal bin Yam iaitu sarjana terbilang dalam fahaman Hanafi dan lain-lain lagi.
Buku-buku yang dikarang oleh Abu Mansur Maturidi adalah buku Jadal dan Ma ‘akhiz Syarai’. Kedua-dua buku ini membincangkan Usul Fikah. Buku-buku dalam ilmu ketuhanan antaranya, Tauhid, Muqalaat, Ra’du Ala Qawashat, Bayan Wahm Muktazilah, Ra ‘du Amamah Libaddu Rawafaz dan banyak lagi. Apa yang mendukacitakan, buku-buku itu hilang begitu sahaja. Buku yang masih tersimpan adalah buku Tauhid dan Maqalaat Selain itu ada buku-buku beliau dalam ilmu yang lain.
Abu Mansur Maturidi juga seperti Abu Hassan Asy’ari yang membawa pembaharuan dalam pengajian akidah. Beliau memasukkan hujah-hujah logik akal semasa menghadapi perkembangan fahaman baru yang timbul pada zamannya. Pada zaman para sahabat dan generasi awal kalangan tabi” in termasuk imam-imam mujtahidin yang pertama lebih bergantung kepada hujah-hujah teks daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad sahaja.
Salafiah
Selepas lahir pelbagai teori mengenai akidah, lahir fahaman-fahaman yang bukan sahaja berhujah dengan logik tetapi juga menggunakan falsafah. Maka lahir pula dalam masyarakat Islam orang-orang yang mahu supaya kembali pada sumber asal sahaja. Mereka muncul pada zaman terkini iaitu pada kurun ke tujuh Hijrah. Sebenarnya, mereka adalah daripada aliran Imam Ahmad bin Hanbal dan teori itu dihidupkan semula. Tokoh yang terkemuka adalah Imam Ibnu Taimiyah. Beliau dan pengikut-pengikut menentang keras golongan yang cuba menghurai ayat-ayat yang mutashabihat. Golongan ini mahu supaya ayat-ayat yang mutashabihat tidak dihurai. Mereka hanya menyebut sifat-sifat Allah berpandukan teks-teks yang jelas dalam al-Quran dan hadis. Antara ayat-ayat yang mutashabihat seperti nuzul (turun), istiwak (bersemanyam), al-dhahaq (ketawa) dan lain-lain dengan tidak menyamakan Allah dengan makhluk. Selain itu, mereka membangkitkan kembali isu amalan masyarakat dengan huraian-huraian yang panjang mengenai dengan perkara-perkara yang membawa kepada syirik, seperti kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam perkara tawassul (mohon perantaraan), ziarah kubur dan sebagainya.
Mereka juga tegas menentang penggunaan ilmu logik menyebabkan golongan salaf yang baru ini bergeser dengan fahaman Asya’irah dan Maturidiah yang menjadikan ilmu logik sebagai sebahagian daripada perbincangan akidah. Golongan salaf ini menolak huraian ayat-ayat mutashabihat yang dilakukan oleh Asya’irah dan Maturidiah. Ibnu Taimiyah yang hidup pada abad yang ketujuh Hijrah menjadi tokoh terkemuka dengan mengemukakan hujah-hujah melalui buku-buku yang karangannya.
Oleh kerana aliran ini dibawa oleh Imam Ahmad bin Hanbal, mereka hanya meneruskan aliran yang dibawa oleh Imam Ahmad. Beliau ingin perbincangan dan pengajian akidah dikembalikan seperti zaman Nabi Muhammad, para sahabat dan tabi’in. Walaupun ada cabaran baru yang tidak ada pada zaman mereka, kadang-kadang hujah logik dan falsafah perlu digunakan bagi menolak hujah golongan-golongan seperti Muktazilah, Jabariah dan sebagainya.

Wahabiah
Fahaman Wahabi yang tersebar di Arab Saudi dan beberapa daerah dalam dunia Islam ditaja oleh pemimpinnya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Ia adalah kesinambungan daripada aliran salaf yang dibawa oleh Imam Ahmad dan Ibnu Taimiyah. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab mendapat kekuatan apabila beliau bergabung dengan keluarga Ibnu Saud. Akhirnya, mereka berjaya mengambil alih kuasa di Semenanjung Arab dan membentuk kerajaan beraja Arab Saudi.
Fahaman Wahabi dengan tegasnya mengemukakan dua prinsip yang penting iaitu tauhid yang bersih dari sebarang syirik, dan menghalang sebarang bentuk bid’ah (ajaran baru). Halal dan haram diambil terus daripada sumber al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Sebarang perkataan sarjana Islam perlu dikaji semula, lalu mereka membuka kembali ruang mengeluarkan hukum dengan luas. Mereka menentang ziarah kubur wali-wali dan menganggap amalan ini membawa kepada syirik. Namun, hukum berbeza apabila menziarahi kubur bagi tujuan mengambil pengajaran dan memperingati hari akhirat bukannya dengan tujuan berdoa kepada si mati atau bertawassul melalui orang yang sudah mati. Semasa mereka menguasai Mekah dan Madinah, mereka bertindak merobohkan bangunan-bangunan yang didirikan atas kubur-kubur para sahabat, para tabi’in dan tempat-tempat bersejarah yang dipuja secara melulu.
Mereka menentang perayaan seperti maulid (sambutan hari lahir) dan sebagainya yang tidak ada pada zaman Nabi Muhammad dan mengemukakan beberapa pendapat yang lebih keras daripada Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Taimiyah. Fahaman ini disokong oleh gerakan Syeikh Muhammad Abduh di Mesir, Syeikh Abdul Hamid bin Badis di Algeria, Syeikh Ahmad di Punjabi, India dan beberapa tempat lagi dunia Islam.
KESIMPULAN MAZHAB AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
Kesemua mereka yang disebut di atas adalah daripada golongan Ahli Sunnah wal Jamaah. Walaupun terdapat pertelingkahan dan perselisihan yang keras dan tajam antara satu sama lain, namun pertelingkahan itu tidak tersasar daripada dasar-dasar akidah. Walau bagaimanapun, ia boleh membawa kesan-kesan buruk dalam hubungan sesama umat Islam. Perselisihan pendapat dan pentafsiran itu adalah perbezaan fahaman dalam mentafsirkan teks yang sama dan kadang-kadang kerana perbezaan masa dan tempat serta cabaran yang dihadapi dan keperluan hujah bagi menghadapi cabaran luaran.
Dengan kemudahan sumber-sumber rujukan dan hubungan yang ada pada zaman ini menghidupkan semula persefahaman sesama aliran. Pada masa yang sama ia tidak dihabiskan dengan pertelingkahan sesama sendiri tetapi lebih memberi tumpuan bagi menghadapi masalah pokok yang melanda umat Islam dan menentang musuh yang sebenarnya.
Kuliah Jumaat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
10 November 2006

kisah teladan

Kerana sebutir kurma yang dimakan tanpa izin

 SEBUTIR KURMA Selesai menunaikan ibadah haji, Ibrahim bin Adham berniat ziarah ke Masjidil Aqsa. Untuk bekal di perjalanan, ia membeli 1 kg kurma dari pedagang tua di Masjidil Haram. Setelah kurma ditimbang dan dibungkus, Ibrahim melihat sebutir kurma tergeletak didekat timbangan. Menyangka kurma itu bagian dari yang ia beli, Ibrahim memungut dan memakannya. Setelah itu ia langsung berangkat menuju Al Aqsa. 4 Bulan kemudian, Ibrahim tiba di Al Aqsa. Seperti biasa, ia suka memilih sebuah tempat beribadah pada sebuah ruangan di bawah Qubbah Sakhra. Dia solat dan berdoa dengan khusyuk sekali. Tiba tiba ia mendengarPercakapan dua Malaikat tentang dirinya. "Itu, Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud dan wara yang doanya selalu dikabulkan ALLAH SWT," kata malaikat yang satu. "Tetapi sekarang tidak lagi. doanya ditolak karena 4 bulan yg lalu iamemakan sebutir kurma yang jatuh dari meja seorang pedagang tua di Masjidil haram," jawab malaikat yang satu lagi. Ibrahim bin adham terkejut sekali, ia terhenyak, jadi selama 4 bulan ini ibadahnya, solatnya, doanya dan mungkin amalan-amalan lainnya tidak diterima oleh ALLAH SWT gara-gara memakan sebutir kurma yang bukan haknya. "Astaghfirullahal adzhim" Ibrahim beristighfar. Ia langsung berkemas untuk berangkat lagi ke Mekkah menemui pedagang tua penjual kurma itu untuk meminta dihalalkan sebutir kurma yang telah ditelannya. Begitu sampai di Mekkah ia langsung menuju tempat penjual kurma itu, tetapi ia tidak menemukan pedagang tua itu melainkan seorang anak muda. "4 bulan yang lalu saya membeli kurma disini dari seorang pedagang tua. Di mana ia sekarang ?" tanya Ibrahim. "Sudah meninggal sebulan yang lalu, saya sekarang meneruskan pekerjaannya berdagang kurma" jawab anak muda itu. "Innalillahi wa innailaihi roji'un, kalau begitu kepada siapa saya meminta penghalalan?".Lantas ibrahim menceritakan peristiwa yg dialaminya, anak muda itu mendengarkan penuh minat. "Nah, begitulah" kata ibrahim setelah bercerita, "Engkau sebagai ahli waris orang tua itu, mahukah engkau menghalalkan sebutir kurma milik ayahmu yang terlanjur kumakan tanpa izinnya?". "Bagi saya tidak masalah. Insya ALLAH saya halalkan. Tapi entah dengan saudara-saudara saya yang jumlahnya 11 orang. Saya tidak berani mengatas nama kan mereka kerana mereka mempunyai hak waris sama dengan saya." "Di mana alamat saudara-saudaramu? Biar saya temui mereka satu persatu." Setelah menerima alamat, Ibrahim bin Adham pergi menemui. Biar >  berjauhan, akhirnya selesai juga. Semua setuju menghalakan sebutir kurma milik ayah mereka yang termakan oleh Ibrahim. 4 bulan kemudian, Ibrahim bin adham sudah berada dibawah Qubbah Sakhra.Tiba tiba ia mendengar dua malaikat yang dulu terdengar lagi bercakap-cakap. "Itulah ibrahim bin adham yang doanya tertolak gara gara makan sebutir kurma milik orang lain." "O, tidak.., sekarang doanya sudah makbul lagi, ia telah mendapat penghalalan dari ahli waris pemilik kurma itu. Diri dan jiwa Ibrahim kini telah bersih kembali dari kotoran sebutir kurma yang haram karena masih milik orang lain. Sekarang ia sudah bebas." "Apabila anda mempunyai teman atau saudara yang anda sayangi forward-lah e-mail ini. Oleh sebab itu berhati-hatilah dgn makanan yg masuk ke tubuh kita, sudah halalkah? lebih baik tinggalkan bila ragu-ragu..."